Shahrir tidak tahu sumber wang RM1 juta yang diberikan kepada Najib - Saksi

KUALA LUMPUR: Seorang pengurus bank memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, bahawa Tan Sri Shahrir Ab Samad tidak mengetahui dari mana bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memperoleh wang RM1 juta yang diberikan kepada bekas Pengerusi FELDA itu.

Pengurus Cawangan Ambank (M) Berhad Jalan Raja Chulan, R Uma Devi, 43, ketika mengesahkan perkara itu berkata beliau sudah berpengalaman dalam bidang perbankan selama 12 tahun, juga tidak mengetahui sumber wang terbabit.

Beliau berkata demikian ketika disoal balas peguam, Tan Sri Dzulkifli Ahmad mewakili Shahrir, pada perbicaraan Shahrir yang berdepan pertuduhan gagal mengisytiharkan RM1 juta diterima daripada Najib, kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Dzulkifli: Sebagai pegawai bank yang berpengalaman, jika cek bank itu (RM1 juta) ditunaikan, bermakna tiada apa-apa isu berkenaan sumber wang berkenaan.

Uma Devi: Ya, pada ketika itu tidak ada (isu).


Dzulkifli: Cik Uma boleh mengesahkan tiada masalah dengan cek itu, apatah lagi Tan Sri Shahrir juga boleh beranggapan tiada masalah dengan cek ketika menerima dan memasukkan (wang) ke dalam akaunnya.


Uma Devi: Ya.

Selain itu, Uma Devi bersetuju dengan Dzulkifli bahawa LHDN tidak merakam percakapannya, memandangkan kes itu berkaitan pengubahan wang haram di mana Shahrir didakwa tidak melaporkan pendapatan sebenar kepada LHDN, tidak melibatkan rasuah.

Saksi itu berkata, hanya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang merakam percakapannya.

Shahrir, 72, didakwa terlibat dalam pengubahan wang haram dengan tidak melaporkan pendapatan sebenar dalam borang cukai pendapatan, yang bertentangan dengan Seksyen 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967, iaitu tidak mengisytiharkan pendapatan yang diterima daripada Najib berjumlah RM1 juta melalui cek, yang kemudiannya dimasukkan ke dalam akaun banknya.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Cawangan Duta LHDN, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim, di sini, pada 25 April 2014.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda RM5 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin bersambung esok. – BERNAMA